Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM

Selasa, 7 Jun 2011

Mereka yang Layak Jawab


Sdr. Illie Jaymon dan semua pembaca, dua nama yang saya sebut merupakan individu menurut pandangan peribadi saya. Saya yakin para pembincang di sini faham tentang pandangan peribadi yang tidak berkait dengan dorongan mana-mana pihak melainkan diri saya sendiri. Ia bukanlah muktamad untuk dijadikan sebagai keputusan atau pemutus mutlak. Sebab itulah blog ini diwujudkan untuk kita sama-sama berbincang, berkongsi buah fikiran dan mencari jalan untuk mentransform kepimpinan dua kawasan ini dengan calon-calon yang sesuai agar pihak berkaitan mengambil perhatian. Semua pihak berhak mencadang calon mengikut pandangan masing-masing dan begitu juga saya. Perkara ini harus difahami. Adalah kurang wajar mengulangi perkara ini atau seolah-olah melihat saya sebagai pemberi kata putus sedangkan matlamat kewujudan pentas bincang ini semata-mata mahu menggantikan pemimpin sedia ada dengan pemimpin jati Tandek dan K.Marudu.

Seperkara yang perlu difahami juga ialah, di awal tulisan saya sebelum menyebut dua calon berkaitan, saya telahpun menyatakan bahawa, orang yang paling layak dan paling tahu tentang calon yang berkemampuan itu adalah pemimpin-pemimpin yang ada sekarang. Saya juga menegaskan bahawa agak mustahil dalam beberapa penggal PRU, pemimpin-pemimpin atasan di kedua-dua kawasan ini belum dapat menjejak dan mengenalpasti calon anak jati tempatan untuk kawasan ini. Apa sistem kepimpinan yang ada juga ‘berantakan’ sehingga sukar mencari penyelesaian dan akhirnya calon itu-itu juga yang naik. Persoalan yang saya timbulkan adalah sejauh mana ketelusan para pemimpin atasan dalam memilih calon anak jati Kimaragang?

Saya bukanlah dari kalangan pemimpin-pemimpin atasan justeru jangan bimbang, pilihan yang saya kemukakan jika naik atau sebaliknya, tidakpun memberi apa-apa kesan terhadap saya kerana matlamat kita adalah untuk melihat anak jati dua kawasan ini berada di kawasan ini dan memegang jawatan pemimpin nombor satu untuk wilayah kita. Saya harap, dua tokoh yang disebutkan tidak berasa terjejas dengan tulisan dan pandangan saya terhadap kalian justeru mengundang pelbagai ulasan para pembincang. Anggap sajalah ia kredit dari seorang manusia biasa untuk kalian. Saya hanya cuba mendapatkan maklumbalas, apapun jawapannya, itu hak kalian. Terima kasih kepada Latif Kandok yang memberi maklumbalas positif ketika saya menghubungi beliau.

Membuat memorandom, berjumpa PM, CM dan pihak-pihak berkaitan itulah terbaik namun tidak semudah mencadang kerana proses ini melibatkan kos dan segalanya. Kalau dibaca sejarah kemerdekaan Malaysia yang diterajui YM Tengku Abdul Rahman pasti kita temui kepingan sejarah sedih yang mana Tengku terpaksa menjual tanah, rumah dan sebagainya bagi memastikan kemerdekaan Malaysia. Selebihnya, rakyat menyumbang ; barang kemas dan seumpamanya semata-mata bersatu tujuan melihat Malaysia merdeka dan bebas dari penjajah. Tandek barangkali perlu melalui sejarah seperti ini kalau kita mahu membebaskannya. Namun, berapa kerat jumlah yang benar-benar bersedia dan bertekad dalam hal ini ?

Jika kita asyik bertikam pendapat, berbahas, berhujah dan mengandai-andai sesuatu yang belum kita hadapi, saya percaya gelanggang yang kita buka beserta beberapa rakan yang bukan ahli kepada mana-mana persatuan, bukan ahli politik, bukan jutawan dan bukan ilmuan bakal dikubur perlahan-lahan. Nampaknya, bukan orang luar yang menggali lubang bangsa Kimaragang tetapi kita sendirilah yang menggali dan menguburnya dengan berselindung di balik tabir peradaban yang disulam kata-kata perjuangan tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya. Perlukah saya cabar para ahli politik dan persatuan, para ilmuwan dan jutawan agar kalian tahu yang bercakap ini hanya budak hingusan yang miskin dan tidak punya nama atau apa-apa jawatan seperti kalian ? Jika ini kemahuan kalian, bersedialah menjawab persoalan yang akan saya kemukakan ? Kemahuan saya normal dan bukan dosa. Saya hanya berjuang mengikut kemampuan yang ada. Barangkali ada yang sinis dan kelucuan sambil mendetik kata “ berjuang konon...” tapi saya tidak kisah, meski belum ada petanda kita menang dan merdeka di tanah sendiri, namun inilah perjuangan bagi saya.

Sepatutnya, pukulan Pinakang yang sedang rancak dan membara ini ditiup habis-habisan agar terus marak dan bersinar 100 tahun lagi daripada menimbulkan keraguan, bimbang, takut dan sebagainya. Cendikiawan dan aktivis Kimaragang sepatutnya mengambil bahagian masing-masing memberikan idea, resepi, penawar dan mencipta untuk mencantik dan menyusunaturkan lagi ‘tabasan’ sedia ada daripada mereka-reka soalan-soalan yang seakan-akan kepunyaan murid dan saya menjadi gurunya kerana diasak berkali-kali dengan pertanyaan-pertanyaan yang saya bukanlah ahlinya jauh sekali berkelayakan menjawabnya.

Setahu saya, teori menang cuma bersatu-padu dan seia-sekata . Namun, jika perjuangan diiringi kepentingan peribadi yang lebih menebal dari matlamat, maka sampai bila-bilapun hanya seorang dua saja yang akan menikmati pimpinan mereka. Siapa mereka yang berkepentingan? tali barut dan pengampu yang sentiasa tersenyum di hadapan tuannya kerana dengan berkeadaan seperti itu dia akan selalu kenyang dan kaya-raya. Rakyat dijadikan tangga, rakyat juga dijual dan Tandek didagang di meja-meja persidangan lalu mereka yang buta berteriak dan bertepuk tangan sambil menjulangi mereka dengan kata-kata “inilah pemimpinku..” padahal mereka dijual hidup-hidup. Jelas dan nyata perkara ini tetapi jarang antara kita membahasnya apalagi menghidangkan kisah seperti ini. Ataukah kita tutup saja agenda ini dan ganti dengan tulisan penelanjangan? Itu lagi dahsyat! sudah tentu kita tidak mahu kerana itu bukan cara bangsa kita. Jadi, mari kita sama-sama perkenalkan page ini kepada PM, CM dan pihak-pihak berkaitan, cukuplah soalan-soalan kurang perlu untuk saya. Tanyalah pada mereka yang layak ditanya sampai mereka buka mulut dan akur apa yang kita minta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan