Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM

Khamis, 13 Oktober 2011

Satu Perjuangan







Berulangkali pengalaman sakit, peristiwa kematian, kesedihan dan pelbagai lagi peristiwa hidup mengetuk pintu keinsafan kita.Tika perkara itu terjadi sekali gus terdepan pada kita maka timbullah gelombang atau getar yang menikam fikiran dan hati kita. Lalu, akan spontan kata-kata kesal, sedih, hiba dan duka sehingga air mata kita berlinangan disusuli pengakuan jujur jauh di lubuk hati bahawa kita tidak akan ‘buat lagi’ , tidak akan ‘ulang lagi’, akan jadi ‘kuat’, ‘hebat’ , ‘berjaya’, bahkan macam-macam lagi perkataan yang timbul mengikut situasi yang sedang kita hadapi. Ketika kita berada dalam lingkungan ini, terlihatlah di raut wajah akan pancaran akur dan janji kita, sehingga orang yang melihat kita waktu itu merasai bahasa batin kita.

Hari akan bertukar minggu dan minggu bertukar bulan. Kemudian, waktu akan semakin pendek dengan kehadiran tahun. Peristiwa yang menyaksikan keakuran kita sebelum ini pun semakin pudar dan akhirnya hilang bersama perjalanan dan perstiwa-peristiwa mendatang lalu, wajah kita juga akan bertukar riak dan kembali seperti kehidupan kita tiada pernah disinggahi tragedi, walau sesekali ia samar-samar datang menyapa ingatan . Kalau adapun yang datang mengingatkan kembali pada kita tentang peristiwa itu, kita sudah tidak kisah apalagi bersedih. Inilah kita dalam dunia nyata. Kenapa ini terjadi? Kerana kita tidak bertahan dalam selubung insaf yang mendalam. Sedar atau tidak, ini berlaku di semua sudut hidup kita.

Dalam hal perjuangan misalnya, kita sebenarnya amat lemah kerana situasi menyebabkan kita berkeadaan sedemikian. Tidak akan berlaku perkara ini jika kita mempunyai mesin pemberi ingat atau mempunyai idola perjuangan yang tampil segagah Sang Harimau. Harimau, meski kita tidak melihatnya, namun ketika menyebut nama harimau, akan berdiri bulu roma kita kerana takut akan sifat harimau yang benar-benar telah menguasai kita. Dan, sememangnya harimau punya karisma sedemikian. Pemimpin seharusnya perlu ada sifat begitu. Kekuatan pengaruhnya akan membuatkan kita kuat, berani dan bersemangat kerana auranya yang akan melimpah ke tubuh kita sehingga bila saja kita terdengar seruan perjuangan, kita terlompat dan terlonjak gembira hatta berebutan keluar ke medan juang kerana mahu bertempur. Pertempuran waktu itu bukan lagi menakutkan bahkan dirasa seperti pesta meski kemenangan belum pasti di pihak kita atau lawan. Betapalah lagi kalau kemenangan sah milik kita.

Rasa ini perlu kita tiupkan pada bangsa Kimaragang sehingga mendarah daging. Sayang, kita tidak memilikinya secara total. Kalau adapun, bersifat mendatar. Sekali sekala, naik 100% waktu tercabar. Kemudian, turun semula ke paras 0.0% ketika kita di zon selesa. Jadi. Mahu atau tidak, resepi perlu kita adakan. Ingat, pejuang-pejuang terdahulu tidak berjalan kosong tetapi mereka punya aura, doa dan amalan-amalan yang konsisten menyebabkan mereka tetap gagah di mana-mana. Benar, kita ada dua tokoh yang masing-masing memimpin persatuan (Janathan Kandok dan Baintin Adun) ke destinasi perjuangan tetapi, belum cukup.

Terakhir, sementara semangat kita masih berkobar dan berada di paras 101% , mari kita lebarkan lagi kesedaran dan semangat ini di bumi Kimaragang. Sama-sama kita cari sumber super power untuk diagih-agihkan ke segenap lapisan masyarakat kita agar semangat ini akan konsisten di paras 100% tidak kira masa dan waktu. Saat itu, kita bukan saja akan menawanTandek tetapi kita juga bakal mencipta rekod bertaraf dunia malah, tidak mustahil sejarah keupayaan kita akan menjadi panduan generasi demi generasi . Persoalannya, apa dan di mana ramuan super power itu? Setakat ini, jawaban yang dapat saya kongsikan adalah pendidikan rohani dan tarbiah berterusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan