Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM

Selasa, 13 Disember 2011

Dendam ?



( ucapan tahniah kepada Baintin A. Halim Adun kerana berjaya mempamirkan budaya Dusun Kimaragang ketika perhimpunan Agung UMNO 2011)

Kian hari berita sekitar lingkungan pengundi makin panas. Surat khabar, televisyen, laman-laman web, blog,FB dan pelbagai rangkaian media masa maya dan nyata terus-terusan menyajikan hidangan-hidangan berasap bak goreng pisang baru diangkat dari gelegakan minyak. Asasnya, ia berlaku kerana masing-masing mahukan kebenaran. Selebihnya pula dididih rasa benci, marah,dendam serta hasutan.

Peliknya cara manusia menghadapi kepanasan ini. Jika sebelumnya mereka diam dan membisu seribu bahasa, namun kerana tidak dapat bersabar akhirnya meletus juga buakan di dada. Justeru,kesabaran itu ada hadnya.

Sementara orang lain yang dulu tidak pandai bercakap kerana tiada bukti atau alasan, akhirnya bersuara kerana kini terbukti segala pembohongan mereka. Di sisi lain,dulu ada juga yang berkata demi perpaduan parti dan kehormanian bangsa menjadi teras. Lalu, terkeluarlah teriakan-teriakan perjuangan serta penegasan semangat ‘lawan tetap lawan'. Akhirnya, bersukacita menjadi sahabat lawan dan dengan mudah memberi alasan “demi rakyat, aku sanggup korbangadaikan prinsip dan maruah, kerana itu, aku ada di sini”. Bukan takat ini sahaja bahkan ada sejuta lagi istilah hujah dan kenyataan. Hakikatnya, begitulah lidah politikus. Mungkin lebih lembut berbanding seorang pejuang sejati.

Renungan;
Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tetapi aku bukanlah org yg paling baik di kalangan kamu maka berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng maka betulkan aku!" (Sayidina Abu Bakar)

Sebahagian lagi, sebelum mendapat imbuhan projek bisingnya mengalahkan guntur di langit. Akhirnya, jadi bisu mengalahi pesakit strok, kerana sudah mendapat jongkong emas. Sementara yang lain walau sudah mendapat emas permata masih terus menyalak ketidakbenaran yang berlaku. Jadi, pada anda, mana satukah yang baik ?

ini sebahagian warna, watak dan sikap politikus yang kurang bijak menaakul isu semasa. Akhirnya, akan hilang rasa pertimbangan. Benarlah, selagi namanya manusia, selagi itulah dia tidak akan berasa puas dengan apa yang ada, apatah lagi jika tiada. Terkecuali, mereka yang mempercayai kehidupan sesudah mati. Walau belum tentu mereka ini yang terbaik, tetapi pasti mereka ini lebih baik berbanding mereka.

Bersambung .... UMNO vs PBS

Khamis, 13 Oktober 2011

Satu Perjuangan







Berulangkali pengalaman sakit, peristiwa kematian, kesedihan dan pelbagai lagi peristiwa hidup mengetuk pintu keinsafan kita.Tika perkara itu terjadi sekali gus terdepan pada kita maka timbullah gelombang atau getar yang menikam fikiran dan hati kita. Lalu, akan spontan kata-kata kesal, sedih, hiba dan duka sehingga air mata kita berlinangan disusuli pengakuan jujur jauh di lubuk hati bahawa kita tidak akan ‘buat lagi’ , tidak akan ‘ulang lagi’, akan jadi ‘kuat’, ‘hebat’ , ‘berjaya’, bahkan macam-macam lagi perkataan yang timbul mengikut situasi yang sedang kita hadapi. Ketika kita berada dalam lingkungan ini, terlihatlah di raut wajah akan pancaran akur dan janji kita, sehingga orang yang melihat kita waktu itu merasai bahasa batin kita.

Hari akan bertukar minggu dan minggu bertukar bulan. Kemudian, waktu akan semakin pendek dengan kehadiran tahun. Peristiwa yang menyaksikan keakuran kita sebelum ini pun semakin pudar dan akhirnya hilang bersama perjalanan dan perstiwa-peristiwa mendatang lalu, wajah kita juga akan bertukar riak dan kembali seperti kehidupan kita tiada pernah disinggahi tragedi, walau sesekali ia samar-samar datang menyapa ingatan . Kalau adapun yang datang mengingatkan kembali pada kita tentang peristiwa itu, kita sudah tidak kisah apalagi bersedih. Inilah kita dalam dunia nyata. Kenapa ini terjadi? Kerana kita tidak bertahan dalam selubung insaf yang mendalam. Sedar atau tidak, ini berlaku di semua sudut hidup kita.

Dalam hal perjuangan misalnya, kita sebenarnya amat lemah kerana situasi menyebabkan kita berkeadaan sedemikian. Tidak akan berlaku perkara ini jika kita mempunyai mesin pemberi ingat atau mempunyai idola perjuangan yang tampil segagah Sang Harimau. Harimau, meski kita tidak melihatnya, namun ketika menyebut nama harimau, akan berdiri bulu roma kita kerana takut akan sifat harimau yang benar-benar telah menguasai kita. Dan, sememangnya harimau punya karisma sedemikian. Pemimpin seharusnya perlu ada sifat begitu. Kekuatan pengaruhnya akan membuatkan kita kuat, berani dan bersemangat kerana auranya yang akan melimpah ke tubuh kita sehingga bila saja kita terdengar seruan perjuangan, kita terlompat dan terlonjak gembira hatta berebutan keluar ke medan juang kerana mahu bertempur. Pertempuran waktu itu bukan lagi menakutkan bahkan dirasa seperti pesta meski kemenangan belum pasti di pihak kita atau lawan. Betapalah lagi kalau kemenangan sah milik kita.

Rasa ini perlu kita tiupkan pada bangsa Kimaragang sehingga mendarah daging. Sayang, kita tidak memilikinya secara total. Kalau adapun, bersifat mendatar. Sekali sekala, naik 100% waktu tercabar. Kemudian, turun semula ke paras 0.0% ketika kita di zon selesa. Jadi. Mahu atau tidak, resepi perlu kita adakan. Ingat, pejuang-pejuang terdahulu tidak berjalan kosong tetapi mereka punya aura, doa dan amalan-amalan yang konsisten menyebabkan mereka tetap gagah di mana-mana. Benar, kita ada dua tokoh yang masing-masing memimpin persatuan (Janathan Kandok dan Baintin Adun) ke destinasi perjuangan tetapi, belum cukup.

Terakhir, sementara semangat kita masih berkobar dan berada di paras 101% , mari kita lebarkan lagi kesedaran dan semangat ini di bumi Kimaragang. Sama-sama kita cari sumber super power untuk diagih-agihkan ke segenap lapisan masyarakat kita agar semangat ini akan konsisten di paras 100% tidak kira masa dan waktu. Saat itu, kita bukan saja akan menawanTandek tetapi kita juga bakal mencipta rekod bertaraf dunia malah, tidak mustahil sejarah keupayaan kita akan menjadi panduan generasi demi generasi . Persoalannya, apa dan di mana ramuan super power itu? Setakat ini, jawaban yang dapat saya kongsikan adalah pendidikan rohani dan tarbiah berterusan.

Khamis, 16 Jun 2011

Lonjakan Kimaragang


Baintin A. Halim Adun dan Janathan Kandok

Pertemuan mesra antara dua pemimpin pertubuhan dan persatuan Kimaragang bakal mencetus lonjakan kepada bangsa Kimaragang. Sampai waktunya semua persatuan dan pertubuhan yang wujud di Kota Marudu bersatu dalam memikirkan transformasi kepimpinan Kota Marudu.

Rabu, 15 Jun 2011

Siapa ?


Bertemu lagi di laman ini. Pun nama laman ini maya tapi apa yang kita perkatakan adalah nyata dan jelas; Menolak Pimpinan Bukan Anak Jati bagi Kawasan Kota Marudu dan Tandek. Sejak lahir halaman dan blog ini, kita sedar dan tahu bahawa semua yang ditulis baik secara bersahaja, berjenaka atau sebagainya, ia bertujuan sama. Kali ini, ada perkara yang perlu sama-sama kita tumpukan. Antaranya;

1. Penukaran nama Rakyat Tandek ke Kota Marudu
2. Siapa calon?

Tiga perkara ini perlu dibincang sekali gus dicarii jawabannya sebelum tindakan seterusnya dibuat. Meskipun 3 nama sebelum ini telah ditulis sebagai pilihan peribadi penulis, ini bukanlah bermakna ia menjadi satu ketetapan serta muktamad kerana selain berupa pandangan peribadi, pilihan ini juga perlu melalui proses perhalusan. Kita bukan menyangkal kebebasan setiap individu untuk memilih dan menawarkan diri menjadi calon tetapi, calon mestilah terdahulu mendapat sokongan rakyat.

Apa yang jelas bagi kawasan N.5 Tandek kini adalah suara-suara yang mahukan pemimpin tempatan dicalonkan. Barangkali ada yang tidak percaya atau menafikan perkara ini tetapi, silalah anda tanyai pengundi secara langsung. Masuklah mana-mana kampung, tamu-tamu kampung atau di pekan Tandek , Kota Marudu dan Matunggung. Pasti penuh nota telinga anda mendengar jawaban yang sama serta menolak Dr. Max dan Anita Baranting untuk terus kekal menjadi pemimpin dua kawasan ini. Namun, kalau anda hanya mendengar jawapan dari satu pihak sahaja maka, sudah tentulah anda akan berkata ‘masih majoriti lagi, menang lagi’, dan sebagainya.

SIAPA PILIHAN ?
Secara total dan pasti anda semua tahu saat masuk dewan pencalonan itu akan tiba. Selepas ini akan ada nama-nama yang kita naikkan dalam tulisan sebagai pengenalan serta dalam waktu yang sama dijadikan sebagai bahan pemikiran sekali gus menjawab bahawa kita bukan ketandusan pemimpin.

FACEBOOK
Sebelum ini penulis menggunakan RAKYAT TANDEK sebagai nama profil. Kini, tambahan KOTA MARUDU dalam profil akan dibuat kerana mengambilkira pandangan pembaca yang mahu diadakan penambahan dua frasa ini. Terima kasih atas keprihatinan pembaca tersebut .

Khamis, 9 Jun 2011

Bangsa Makan Ular



Kepada,
Datuk Bonapis Matangil
Mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Masihkah kauingat kata-kata yang kau lemparkan ke telingaku disaksikan beberapa orang dalam pertemuan itu? Tahukah kau bahawa kata-katamu itu telah terbuku di dadaku sehingga kini? Ia semakin meluap memberontak meminta agar aku sampaikan pada anak bangsaku kata-katamu itu supaya aku tidak menjadi dayus dan dianggap murtad pada bangsaku.

Datuk, kata-katamu amat pedih pada kami yang tinggal di Utara Sabah. Tergamak kau berkata '' Bangsa Kimaragang dan Rungus tiada kelas di dunia! ''. Katamu lagi, aku hanya tahu makan ULAR. Sungguh pedih kau tikam aku dan bangsaku tika itu Datuk!

Kepada anak bangsaku ( Kimaragang & Rungus ), maaf , baru kini aku sampaikan pada kalian. Kukira ini kujadikan kenang-kenangan untuk diriku. Tapi, aku tak sanggup meninggalkan kalian begitu sahaja tanpa kubahagi-bahagikan rasa sakit yang menjadi semangat ini pada kalian. Tujuanku agar kalian bangkit dari semua aspek kehidupan, agar kita tidak dilihat terlalu hina di mata mereka.

Akhir sekali, ku pinta agar kalian genggam erat kata-kata penghinaan ini untuk kalian terus berjuang ke hadapan. Moga bangsa kita tidak lagi dilihat hanya tahu makan ULAR dan Tiada Kelas Di Dunia. Memang benar kata-kata Datuk ini jika kita baca sejarah kedatangan mereka ke bumi kita.

Catatan seorang pejuang.

Rabu, 8 Jun 2011

Mungkin ?

SAMORA

PKS

PKM

Tiga Persatuan Besar Bergabung?

Apakah Persatuan Kimaragang Sabah, Pertubuhan Kimaragang Malaysia dan SAMORA ( Rungus ) bakal mencipta sejarah dalam pemikiran, perjuangan dan tindakan lalu membentuk satu deklarasi ? Jika ya, maka sewajarnya persatuan-persatuan lain turut serta dalam pertemuan itu, agar persefahaman perpaduan terhasil sebagaimana UMNO menghasilkan BN yang menghimpunkan parti-parti kecil kemudiannya bergabung di bawah satu payung. Akhirnya, masing-masing menjaga kepentingan kaum yang mereka wakili demi meneruskan keberlangsungan perpaduan pelbagai etnik dalam negara Malaysia.

Jika ini berjaya, secara langsung sifat KeAKUan dan menguasai satu-satu tempat tidak lagi timbul sekali gus mencerahkan peluang melihat Kota Marudu dipimpin oleh anak jati tempatan . N.4 Matunggong dan N. 5 Tandek masing-masing diwakili Rungus dan Kimaragang berdasarkan majoriti ( pengundi ) manakala P.168 Kota Marudu diwakili oleh calon yang disepakati oleh persatuan-persatuan yang bakal bergabung; PKS, PKM, SAMORA , Persatuan Tabilung, Berunai, Tinagas dan semua persatuan yang wujud di Kota Marudu.

Tiga pimpinan atasan setakat ini memberi respon positif dalam kempen ' BEBASKAN KOTA MARUDU , MATUNGGONG & TANDEK '. Apakah pandangan dan pendirian mereka dalam hal ini? Sama-sama kita tunggu pertemuan ini berlangsung.



Selasa, 7 Jun 2011

Mereka yang Layak Jawab


Sdr. Illie Jaymon dan semua pembaca, dua nama yang saya sebut merupakan individu menurut pandangan peribadi saya. Saya yakin para pembincang di sini faham tentang pandangan peribadi yang tidak berkait dengan dorongan mana-mana pihak melainkan diri saya sendiri. Ia bukanlah muktamad untuk dijadikan sebagai keputusan atau pemutus mutlak. Sebab itulah blog ini diwujudkan untuk kita sama-sama berbincang, berkongsi buah fikiran dan mencari jalan untuk mentransform kepimpinan dua kawasan ini dengan calon-calon yang sesuai agar pihak berkaitan mengambil perhatian. Semua pihak berhak mencadang calon mengikut pandangan masing-masing dan begitu juga saya. Perkara ini harus difahami. Adalah kurang wajar mengulangi perkara ini atau seolah-olah melihat saya sebagai pemberi kata putus sedangkan matlamat kewujudan pentas bincang ini semata-mata mahu menggantikan pemimpin sedia ada dengan pemimpin jati Tandek dan K.Marudu.

Seperkara yang perlu difahami juga ialah, di awal tulisan saya sebelum menyebut dua calon berkaitan, saya telahpun menyatakan bahawa, orang yang paling layak dan paling tahu tentang calon yang berkemampuan itu adalah pemimpin-pemimpin yang ada sekarang. Saya juga menegaskan bahawa agak mustahil dalam beberapa penggal PRU, pemimpin-pemimpin atasan di kedua-dua kawasan ini belum dapat menjejak dan mengenalpasti calon anak jati tempatan untuk kawasan ini. Apa sistem kepimpinan yang ada juga ‘berantakan’ sehingga sukar mencari penyelesaian dan akhirnya calon itu-itu juga yang naik. Persoalan yang saya timbulkan adalah sejauh mana ketelusan para pemimpin atasan dalam memilih calon anak jati Kimaragang?

Saya bukanlah dari kalangan pemimpin-pemimpin atasan justeru jangan bimbang, pilihan yang saya kemukakan jika naik atau sebaliknya, tidakpun memberi apa-apa kesan terhadap saya kerana matlamat kita adalah untuk melihat anak jati dua kawasan ini berada di kawasan ini dan memegang jawatan pemimpin nombor satu untuk wilayah kita. Saya harap, dua tokoh yang disebutkan tidak berasa terjejas dengan tulisan dan pandangan saya terhadap kalian justeru mengundang pelbagai ulasan para pembincang. Anggap sajalah ia kredit dari seorang manusia biasa untuk kalian. Saya hanya cuba mendapatkan maklumbalas, apapun jawapannya, itu hak kalian. Terima kasih kepada Latif Kandok yang memberi maklumbalas positif ketika saya menghubungi beliau.

Membuat memorandom, berjumpa PM, CM dan pihak-pihak berkaitan itulah terbaik namun tidak semudah mencadang kerana proses ini melibatkan kos dan segalanya. Kalau dibaca sejarah kemerdekaan Malaysia yang diterajui YM Tengku Abdul Rahman pasti kita temui kepingan sejarah sedih yang mana Tengku terpaksa menjual tanah, rumah dan sebagainya bagi memastikan kemerdekaan Malaysia. Selebihnya, rakyat menyumbang ; barang kemas dan seumpamanya semata-mata bersatu tujuan melihat Malaysia merdeka dan bebas dari penjajah. Tandek barangkali perlu melalui sejarah seperti ini kalau kita mahu membebaskannya. Namun, berapa kerat jumlah yang benar-benar bersedia dan bertekad dalam hal ini ?

Jika kita asyik bertikam pendapat, berbahas, berhujah dan mengandai-andai sesuatu yang belum kita hadapi, saya percaya gelanggang yang kita buka beserta beberapa rakan yang bukan ahli kepada mana-mana persatuan, bukan ahli politik, bukan jutawan dan bukan ilmuan bakal dikubur perlahan-lahan. Nampaknya, bukan orang luar yang menggali lubang bangsa Kimaragang tetapi kita sendirilah yang menggali dan menguburnya dengan berselindung di balik tabir peradaban yang disulam kata-kata perjuangan tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya. Perlukah saya cabar para ahli politik dan persatuan, para ilmuwan dan jutawan agar kalian tahu yang bercakap ini hanya budak hingusan yang miskin dan tidak punya nama atau apa-apa jawatan seperti kalian ? Jika ini kemahuan kalian, bersedialah menjawab persoalan yang akan saya kemukakan ? Kemahuan saya normal dan bukan dosa. Saya hanya berjuang mengikut kemampuan yang ada. Barangkali ada yang sinis dan kelucuan sambil mendetik kata “ berjuang konon...” tapi saya tidak kisah, meski belum ada petanda kita menang dan merdeka di tanah sendiri, namun inilah perjuangan bagi saya.

Sepatutnya, pukulan Pinakang yang sedang rancak dan membara ini ditiup habis-habisan agar terus marak dan bersinar 100 tahun lagi daripada menimbulkan keraguan, bimbang, takut dan sebagainya. Cendikiawan dan aktivis Kimaragang sepatutnya mengambil bahagian masing-masing memberikan idea, resepi, penawar dan mencipta untuk mencantik dan menyusunaturkan lagi ‘tabasan’ sedia ada daripada mereka-reka soalan-soalan yang seakan-akan kepunyaan murid dan saya menjadi gurunya kerana diasak berkali-kali dengan pertanyaan-pertanyaan yang saya bukanlah ahlinya jauh sekali berkelayakan menjawabnya.

Setahu saya, teori menang cuma bersatu-padu dan seia-sekata . Namun, jika perjuangan diiringi kepentingan peribadi yang lebih menebal dari matlamat, maka sampai bila-bilapun hanya seorang dua saja yang akan menikmati pimpinan mereka. Siapa mereka yang berkepentingan? tali barut dan pengampu yang sentiasa tersenyum di hadapan tuannya kerana dengan berkeadaan seperti itu dia akan selalu kenyang dan kaya-raya. Rakyat dijadikan tangga, rakyat juga dijual dan Tandek didagang di meja-meja persidangan lalu mereka yang buta berteriak dan bertepuk tangan sambil menjulangi mereka dengan kata-kata “inilah pemimpinku..” padahal mereka dijual hidup-hidup. Jelas dan nyata perkara ini tetapi jarang antara kita membahasnya apalagi menghidangkan kisah seperti ini. Ataukah kita tutup saja agenda ini dan ganti dengan tulisan penelanjangan? Itu lagi dahsyat! sudah tentu kita tidak mahu kerana itu bukan cara bangsa kita. Jadi, mari kita sama-sama perkenalkan page ini kepada PM, CM dan pihak-pihak berkaitan, cukuplah soalan-soalan kurang perlu untuk saya. Tanyalah pada mereka yang layak ditanya sampai mereka buka mulut dan akur apa yang kita minta.