Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM

Sabtu, 27 April 2013

Anggota RELA Bersumpah


Benar atau fitnah khabar ini? Hanya anggota RELA terlibat mengetahui perkara sebenar. Kononnya, Pegawai RELA KOTA MARUDU Mery Ubin telah meminta anggota-anggotanya bersumpah supaya mengundi BN. Andai benar, maka Maximus Ongkili dan Anita Baranting berada di ambang kejatuhan. Terbukti perjumpaan demi perjumpaan bersama rakyat, merundum berbanding PRU 12. Inilah kehendak rakyat tempat kami.

Khamis, 25 April 2013

Maximus Ongkili Menangis ?


Menurut sumber yang boleh dipercayai, baru-baru ini Maximus telah memanggil para pemimpin beberapa buah gereja sekitar Kota Marudu untuk upacara doa dan rayuan. Kata mereka yang sama-sama hadir, beliau telah merayu ketua-ketua gereja supaya mendoakan kejayaan PRU 13 sekali lagi berpihak kepada beliau. Kekhusyukan berdoa menyebabkan air mata beliau mengalir tanpa disedari.
Nampaknya Maximus sedar kekuatan beliau kini tercabar dengan kebangkitan rakyat yang menolak beliau keluar dari Kota Marudu setelah 20 tahun menjadi wakil rakyat di sini.
Paling sandik, ada rakan-rakan berbaju biru bercop timbangan yang turut sepakat menyingkir pimpinan beliau kali ini. Percaya atau tidak? Sama-sama kita tunggu kiraan undi pada malam 5 Mei 2013.

Sabtu, 6 April 2013

TAMAK SELALU RUGI



Daniel Jebon Janaun

Jeffry Baudi

Saban Sawayan

 Anthony Mandiau


 
Datuk Maijol Mahap

John Charles Mitah Mikat

Andy Villson

Detik memasuki pintu dewan pencalonan semakin dekat. Begitu dentuman jantung para pemimpin semakin kencang denyutnya. Kekadang, suara hati mereka tidak dapat disembunyikan lagi kerana goncangan resah. Seolah minta simpati pun ada. Kini, mereka hanya menanti senarai calon. Apakah nama mereka masih tersenarai atau tersingkir? Calon baru juga tidak sabar memasuki gelanggang dan dengan yakin berasa dialah yang terbaik untuk rakyat. Sementara pihak pembangkang juga semakin yakin bahawa Putra Jaya akan jadi milik mereka. Pelbagai warna rasa menguasai sudut-sudut hati ketika ini. 

Sebagai pengundi yang matang dengan pengalaman, inilah masa paling tepat menolak mana-mana kebatilan dan mengembalikan martabat dan hak. Tandek, Matunggong dan Kota Marudu tidak terkecuali menjadi rebutan beberapa calon khususnya daripada pihak pembangkang, sebagaimana kita lihat tulisan kain rentang, bendera, baju serta sikap yang ditonjolkan. Inilah bukti suburnya amalan demokrasi berperlembagaan di negara kita. Menurut mereka, isu-isu yang dibawa menjurus kepada hak rakyat yang mesti dikembalikan kepada rakyat, beserta bukti jelas amalan ketidaksamarataan kuasa, ketidakadilan, kroni dan sebagainya. Apapun isu, rakyatlah menjadi penentu. 

Rakyat harus matang memilih dan tidak sewenang-wenang memperbodohkan diri, menjual undi dengan harga rendah. Kerana, akibatnya akan ditanggung sendiri oleh rakyat dalam tempoh 5 tahun mendatang. Bagi mencapai matlamat, tidak cukup hanya seorang atau dua orang yang memikul, bahkan ia mestilah digalas beramai-ramai. Hanya kesepaduan yang dapat menjadi senjata ampuh bagi mencapai tujuan ini. Kesepaduan tidak akan dapat dijelmakan jika, kehendak lebih diutamakan berbanding matlamat. Sebab itu, satu lawan satu adalah jalan terbaik dan paling mujarab untuk Tandek, Matunggong dan Kota Marudu.


Khamis, 3 Mei 2012

Bodohnya orang-orang Kota Marudu

Saya dan kita warga Tandek memang tidak pernah henti memperkatakan tentang kegagalan pimpinan yang ada. Nadi darah kita juga semakin aktif kerana meluat dengan sikap ketidakseimbangan pimpinan MP Kota Marudu. Apa tidaknya, kesemua barisan hadapan, nampak sangat hasil perancangan MAXIMUS yang mahu jadi raja. MP, ADUN termasuk Pejabat Daerah kita, kesemua orang luar bolot. Keadaan ini cukup memperlihatkan seolah-olah mereka mendabik dada dan berkata “bodohnya orang-orang Kota Marudu”. 

Mungkin ada benarnya orang-orang Kota Marudu ini senang-senang diperbodohkan mereka apabila tiada seorang pun dalam barisan pimpinan menyuarakan perkara ini. Kalaupun ada, mereka ini suka bercakap dalam nada berhati-hati sebab takut kehilangan jawatan.

Naa…Kalau ditunggu salakan barisan pimpinan, memang payah. Jadi, mari sama-sama kita buktikan dalam pilihan raya akan datang bahawa orang kita berkemampuan duduk dalam ketiga-tiga jawatan yang mereka kuasai sekarang. Tolak mereka pada masa pilihan raya, dengan syarat satu lawan satu. Sebarkan dan ingatkan orang sebelah, sebelah dan sebelah kita agar mengingatkan kepada sesiapa yang masuk bertanding untuk tidak bertanding semata-mata inginkan jawatan YB. Jika tidak, akhirnya anda juga kami akan tolak! Bertandinglah atas nama rakyat, bukan atas sebab periuk nasi dan mengaut kekayaan diri semata-mata.

Bersambung…2/

Selasa, 13 Disember 2011

Dendam ?



( ucapan tahniah kepada Baintin A. Halim Adun kerana berjaya mempamirkan budaya Dusun Kimaragang ketika perhimpunan Agung UMNO 2011)

Kian hari berita sekitar lingkungan pengundi makin panas. Surat khabar, televisyen, laman-laman web, blog,FB dan pelbagai rangkaian media masa maya dan nyata terus-terusan menyajikan hidangan-hidangan berasap bak goreng pisang baru diangkat dari gelegakan minyak. Asasnya, ia berlaku kerana masing-masing mahukan kebenaran. Selebihnya pula dididih rasa benci, marah,dendam serta hasutan.

Peliknya cara manusia menghadapi kepanasan ini. Jika sebelumnya mereka diam dan membisu seribu bahasa, namun kerana tidak dapat bersabar akhirnya meletus juga buakan di dada. Justeru,kesabaran itu ada hadnya.

Sementara orang lain yang dulu tidak pandai bercakap kerana tiada bukti atau alasan, akhirnya bersuara kerana kini terbukti segala pembohongan mereka. Di sisi lain,dulu ada juga yang berkata demi perpaduan parti dan kehormanian bangsa menjadi teras. Lalu, terkeluarlah teriakan-teriakan perjuangan serta penegasan semangat ‘lawan tetap lawan'. Akhirnya, bersukacita menjadi sahabat lawan dan dengan mudah memberi alasan “demi rakyat, aku sanggup korbangadaikan prinsip dan maruah, kerana itu, aku ada di sini”. Bukan takat ini sahaja bahkan ada sejuta lagi istilah hujah dan kenyataan. Hakikatnya, begitulah lidah politikus. Mungkin lebih lembut berbanding seorang pejuang sejati.

Renungan;
Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tetapi aku bukanlah org yg paling baik di kalangan kamu maka berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng maka betulkan aku!" (Sayidina Abu Bakar)

Sebahagian lagi, sebelum mendapat imbuhan projek bisingnya mengalahkan guntur di langit. Akhirnya, jadi bisu mengalahi pesakit strok, kerana sudah mendapat jongkong emas. Sementara yang lain walau sudah mendapat emas permata masih terus menyalak ketidakbenaran yang berlaku. Jadi, pada anda, mana satukah yang baik ?

ini sebahagian warna, watak dan sikap politikus yang kurang bijak menaakul isu semasa. Akhirnya, akan hilang rasa pertimbangan. Benarlah, selagi namanya manusia, selagi itulah dia tidak akan berasa puas dengan apa yang ada, apatah lagi jika tiada. Terkecuali, mereka yang mempercayai kehidupan sesudah mati. Walau belum tentu mereka ini yang terbaik, tetapi pasti mereka ini lebih baik berbanding mereka.

Bersambung .... UMNO vs PBS

Khamis, 13 Oktober 2011

Satu Perjuangan







Berulangkali pengalaman sakit, peristiwa kematian, kesedihan dan pelbagai lagi peristiwa hidup mengetuk pintu keinsafan kita.Tika perkara itu terjadi sekali gus terdepan pada kita maka timbullah gelombang atau getar yang menikam fikiran dan hati kita. Lalu, akan spontan kata-kata kesal, sedih, hiba dan duka sehingga air mata kita berlinangan disusuli pengakuan jujur jauh di lubuk hati bahawa kita tidak akan ‘buat lagi’ , tidak akan ‘ulang lagi’, akan jadi ‘kuat’, ‘hebat’ , ‘berjaya’, bahkan macam-macam lagi perkataan yang timbul mengikut situasi yang sedang kita hadapi. Ketika kita berada dalam lingkungan ini, terlihatlah di raut wajah akan pancaran akur dan janji kita, sehingga orang yang melihat kita waktu itu merasai bahasa batin kita.

Hari akan bertukar minggu dan minggu bertukar bulan. Kemudian, waktu akan semakin pendek dengan kehadiran tahun. Peristiwa yang menyaksikan keakuran kita sebelum ini pun semakin pudar dan akhirnya hilang bersama perjalanan dan perstiwa-peristiwa mendatang lalu, wajah kita juga akan bertukar riak dan kembali seperti kehidupan kita tiada pernah disinggahi tragedi, walau sesekali ia samar-samar datang menyapa ingatan . Kalau adapun yang datang mengingatkan kembali pada kita tentang peristiwa itu, kita sudah tidak kisah apalagi bersedih. Inilah kita dalam dunia nyata. Kenapa ini terjadi? Kerana kita tidak bertahan dalam selubung insaf yang mendalam. Sedar atau tidak, ini berlaku di semua sudut hidup kita.

Dalam hal perjuangan misalnya, kita sebenarnya amat lemah kerana situasi menyebabkan kita berkeadaan sedemikian. Tidak akan berlaku perkara ini jika kita mempunyai mesin pemberi ingat atau mempunyai idola perjuangan yang tampil segagah Sang Harimau. Harimau, meski kita tidak melihatnya, namun ketika menyebut nama harimau, akan berdiri bulu roma kita kerana takut akan sifat harimau yang benar-benar telah menguasai kita. Dan, sememangnya harimau punya karisma sedemikian. Pemimpin seharusnya perlu ada sifat begitu. Kekuatan pengaruhnya akan membuatkan kita kuat, berani dan bersemangat kerana auranya yang akan melimpah ke tubuh kita sehingga bila saja kita terdengar seruan perjuangan, kita terlompat dan terlonjak gembira hatta berebutan keluar ke medan juang kerana mahu bertempur. Pertempuran waktu itu bukan lagi menakutkan bahkan dirasa seperti pesta meski kemenangan belum pasti di pihak kita atau lawan. Betapalah lagi kalau kemenangan sah milik kita.

Rasa ini perlu kita tiupkan pada bangsa Kimaragang sehingga mendarah daging. Sayang, kita tidak memilikinya secara total. Kalau adapun, bersifat mendatar. Sekali sekala, naik 100% waktu tercabar. Kemudian, turun semula ke paras 0.0% ketika kita di zon selesa. Jadi. Mahu atau tidak, resepi perlu kita adakan. Ingat, pejuang-pejuang terdahulu tidak berjalan kosong tetapi mereka punya aura, doa dan amalan-amalan yang konsisten menyebabkan mereka tetap gagah di mana-mana. Benar, kita ada dua tokoh yang masing-masing memimpin persatuan (Janathan Kandok dan Baintin Adun) ke destinasi perjuangan tetapi, belum cukup.

Terakhir, sementara semangat kita masih berkobar dan berada di paras 101% , mari kita lebarkan lagi kesedaran dan semangat ini di bumi Kimaragang. Sama-sama kita cari sumber super power untuk diagih-agihkan ke segenap lapisan masyarakat kita agar semangat ini akan konsisten di paras 100% tidak kira masa dan waktu. Saat itu, kita bukan saja akan menawanTandek tetapi kita juga bakal mencipta rekod bertaraf dunia malah, tidak mustahil sejarah keupayaan kita akan menjadi panduan generasi demi generasi . Persoalannya, apa dan di mana ramuan super power itu? Setakat ini, jawaban yang dapat saya kongsikan adalah pendidikan rohani dan tarbiah berterusan.

Khamis, 16 Jun 2011

Lonjakan Kimaragang


Baintin A. Halim Adun dan Janathan Kandok

Pertemuan mesra antara dua pemimpin pertubuhan dan persatuan Kimaragang bakal mencetus lonjakan kepada bangsa Kimaragang. Sampai waktunya semua persatuan dan pertubuhan yang wujud di Kota Marudu bersatu dalam memikirkan transformasi kepimpinan Kota Marudu.